Sunday, January 2, 2011

Teh Timbang Bahaya Kpd Kesihatan: Jabatan Kesihatan


Komen:

Saya masih ingat lagi, suatu ketika dahulu, apabila saya pernah menjadi 'Residential Staff'', di sebuah IPTA, sedang saya syok minum teh timbang, tauke kantin datang dan duduk bersebelahan dengan saya, sambil sembang-sembang, dia berkata, 'Encik Ibrahim, jangan minum terlalu banyak teh itu, tak baik untuk kesihatan.'

Saya memberanikan diri dan bertanya kepada tauke itu, 'Kenapa tak elok pula?', Dia berkata teh tersebut mempunyai terlalu banyak 'coloring' dan kelodak. 'Pula dah, yang awak duk bagi student minum tu, kenapa?' Sambil tersenyum, dia berkata 'Nak buat untung, rugi lah kalau pakai teh berkualiti.'

Moral of the story:
1- Jangan minum teh timbang lagi.
2- IPTA/S mesti dipantau, agar tauke kantin tidak lagi menyajikan teh timbang kpd pelajar.
(2nd January 2011)


Teh timbang bahaya kepada kesihatan - Jabatan Kesihatan
02/01/2011 11:20am

JELI, 2 Jan. - Teh timbang atau teh sukat yang amat digemari oleh penduduk di negeri ini sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan mereka. Ketua Penolong Pengarah Kanan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK), Ahmad Nadzri Sulaiman berkata, teh berkenaan yang sering digunakan peniaga kedai kopi sebenarnya mengandungi bahan pewarna sintetik (bukan semula jadi) yang berbahaya kepada kesihatan.

"Teh berkenaan tidak mempunyai label dan dijual secara timbang di rata-rata kedai runcit di negeri ini. Ia berbahaya kepada kesihatan pengguna dalam jangka masa yang lama,” katanya. Katanya, penjualan teh perlu mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tidak membenarkan serbuk teh ditambah bahan pewarna.

Sesiapa yang didapati menjual, mengimport, mengguna dan menyimpan teh timbang ini, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, katanya. Beliau berkata berdasarkan rekod JKK dari Januari hingga Oktober 2010, sebanyak 1,858 kilogram serbuk teh timbang bernilai RM22,296 dirampas dalam operasi yang dijalankan JKK.

Peniaga restoran, Meriyam Sholah, 45, berkata beliau tidak mengetahui bahaya penggunaan teh itu dan telah menggunakannya sejak sepuluh tahun lalu. “Makcik memang suka guna teh timbang ni, pekat molek untuk buat air teh terutama teh susu, kalau guna yang uncang tu nampak pucat dan tak sedap, pelanggan pun bising,” katanya. - Bernama

Komen: Yelah tu, pengguna yang 'pucat' yg nak cepat mati, dan tauke yg nak cepat kaya, tulah yang duk bising nak teh timbang lagi.

.