Tuesday, December 27, 2011

Wanita memuaskan diri dengan berbelanja ribuan ringgit untuk kosmetik!


(27 Dec 2011) 

Wanita memuaskan diri dengan berbelanja ribuan ringgit untuk kosmetik

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Langkah golongan wanita berbelanja beribu-ribu untuk membeli barangan kosmetik dianggap sebagai terapi baru menghilangkan tekanan dan memuaskan diri.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Lembaga Akademi Keusahawanan Islam Alfafa, Datin Reny Rahayu Mohd. Ishak menolak andaian bahawa perbuatan menghias diri oleh golongan berkenaan bertujuan menarik perhatian orang. “Kebanyakan wanita yang bersikap demikian sebenarnya mahu memberi ganjaran dan memuaskan diri mereka selain menjadikan ia sebagai terapi bagi menghilangkan tekanan.

“Selain itu, kecantikan itu turut membantu meningkatkan keyakinan diri mereka kerana wanita zaman kini kebanyakannya mempunyai kerjaya dan sering berhadapan dengan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan mengenai wanita Malaysia yang dikatakan sanggup berhabis sehingga RM2,000 sebulan semata-mata untuk membeli produk kosmetik pelbagai jenama yang terdapat di pasaran.

Sementara itu, Ketua Konsultan Syarikat K&A Applied Psychology Consultancy, Khairol Anuar Masuan berkata, menurut kajian, majoriti golongan wanita beranggapan mereka hanya akan kelihatan cantik jika mereka menggunakan peralatan solekan yang mahal.

“Golongan yang obses terhadap kecantikan selalunya tidak akan berfikir panjang apabila berbelanja sehingga ada yang sanggup berhutang semata-mata mahu membeli keperluan kosmetik jenama antarabangsa.

“Mereka juga sanggup menggunakan kaedah yang bahaya dengan melakukan pembedahan dan suntikan bagi mengubah diri mereka walaupun mengetahui tindakan itu boleh memudaratkan kesihatan hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, Fauziah Mohd. Ramly berkata, golongan wanita perlu bijak menterjemahkan erti kecantikan dengan lebih seimbang dan menyeluruh tanpa bertindak keterlaluan hingga memudaratkan diri. “Ia sangat menyedihkan apabila wanita di negara sanggup membazir dan mengeluarkan belanja yang banyak hanya untuk kecantikan sedangkan peruntukan itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih baik. “Contohnya, mereka boleh menyimpan wang itu untuk perancangan di masa hadapan memandangkan kos sara hidup di negara ini yang semakin meningkat,” katanya.

Tambah beliau, wanita di negara ini perlu menjadikan kes mangsa-mangsa produk kecantikan yang teraniaya hingga menyebabkan kematian sebagai teladan.

-----------------------------------------------------------------------------------------

Komen: Menghilangkan tekanan/stress itu betul, tapi jangan pula beri tauke kosmetik itu ribuan ringgit, wang kerja keras anda - senyum lebar tauke kosmetik itu. 

Scenario 1: 

Tauke: Ini berharga RM245 satu botol. 

Wanita: Mahal tu. 

Tauke: Tapi ini hanya berharga RM250 satu botol. 

Wanita: Kenapa pula? 

Tauke: Krim ini sangat baik, sangat mujarab. Sapu beberapa kali, muka mesti lembut, putih dan cantik!  

Wanita: Ok, I nak 2 botol yang berkualiti itu. 

Tauke: Itu pilihan sangat baik dan bijak, jangan lupa datang lagi, nanti I bagi lagi banyak diskaun kat you and kawan-kawan you next time. (Dalam diam tauke itu tersenyum lebar, teringat Bank... heheh... 'trick' aku jadi lagi). 


.